Mohd Noor tunai nazar jalan kaki 680 km selepas Aidilfitri
Mohd Noor Mat mahu menunaikan nazar  berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya selepas Aidilfitri.
Mohd Noor Mat mahu menunaikan nazar berjalan kaki dari Kuala Besut ke Putrajaya selepas Aidilfitri.

BESUT – Seorang Pekerja Rendah Am Yayasan Islam Terengganu cawangan Besut Mohd Noor Mat, 47, akan menunaikan nazarnya berjalan kaki sejauh lebih 680 kilometer dari Kuala Besut ke Putrajaya jika Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusinya di Kuala Besut dalam pilihan raya kecil Rabu lepas.

Semangat kental dan kecintaan terhadap BN yang terlalu menebal menyebabkan Mohd Noor, bapa tujuh anak berusia antara 4 dan 22 tahun, sanggup berjalan kaki dan akan meneruskan niatnya itu hingga tercapai bagi membuktikan beliau bukan bercakap kosong.

Mohd Noor berkata jika tidak ada halangan, beliau akan memulakan perjalanan dari Dataran Kuala Besut ke Putrajaya pada 18 Ogos.

“Saya akan cuba mengambil masa selama 12 hari bagi menamatkan perjalanan melalui Kuala Besut ke Kuantan dan Kuala Lumpur sebelum ke Putrajaya,” katanya ketika ditemui di Pantai Peranginan Air Tawar.

Beliau berkata niat berjalan kaki ke Putrajaya dilafaz pada hari penamaan calon 12 Julai lepas di depan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh serta wakil rakyat tempatan yang menyokong rancangan itu.

Mohd Noor berkata jika tidak berdepan sebarang masalah, beliau mampu menamatkan perjalanan itu dalam tempoh yang ditetapkan kerana telah beberapa kali melakukannya sebelum ini.

“Saya pernah berjalan sejauh 380 kilometer dalam masa empat hari dari Kemaman ke Besut pada tahun 2008 ketika menyahut cabaran Datuk Seri Idris Jusoh, yang ketika itu Menteri Besar Terengganu,” katanya yang sudahpun memulakan latihan sejak 10 hari lepas dengan tumpuan di kawasan pantai.

Sebelum ini, beliau banyak menyertai pertandingan berjalan kaki dan menyasar untuk melakukan perjalanan antara 60 hingga 70 kilometer sehari.

“Saya turut mengamalkan pemakanan sihat sejak dahulu dan langsung tidak mengambil minuman sejuk,” katanya yang mendapat beberapa tajaan berupa ubat serta makanan kesihatan daripada syarikat tempatan.

Mohd Noor berkata beliau akan membawa lencana dan lambang parti sepanjang perjalanannya ke Putrajaya selain mengedar beberapa risalah berkaitan daerah Besut untuk tujuan pelancongan kepada orang ramai.

Beberapa anggota Pergerakan Pemuda UMNO Besut dijangka mengiringi beliau bermula 7 pagi hingga 7 malam setiap hari.

Mohd Noor berharap orang ramai mendoakan kejayaannya tiba di Putrajaya sehari sebelum sambutan kemerdekaan negara yang ke-56 dan dijangka disambut Khairy.

“Saya juga berhasrat untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sekiranya diberi kesempatan,” katanya. – Bernama

 


 

FOLLOW US

PILIHAN PEMBACA

 


 

 
http://news.abnxcess.com/bm/wp-content/themes/abnnews