I-Bhd labur RM25 juta buka muzium lilin di i-City
Lim Kim Hong (kiri) dan Monica Ong bergambar dengan patung lilin Mr Bean di i-City.
Lim Kim Hong (kiri) dan Monica Ong bergambar dengan patung lilin Mr Bean di i-City.

KUALA LUMPUR – I-Bhd, pemaju induk i-City melabur  RM25 juta untuk membangunkan satu lagi tarikan baharu pelancongan, RedCarpet@i-City, muzium lilin interaktif pertama di Malaysia.

Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kim Hong berkata, keseluruhan pelaburan itu termasuk pemasaran dan promosi.

“RedCarpet akan mengetengahkan 100 ukiran lilin tokoh terkemuka dalam sejarah dan personaliti kontemporari hari ini menerusi enam tema iaitu ikon, selebriti, bintang sukan terkemuka, buku rekod dunia, Kafe All-Stars dan interaktif.

“Ukiran lilin itu disusun dalam suasana Anugerah Oskar dalam ruang seluas 3,000 kaki persegi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan logo RedCarpet di sini hari ini.

Mengulas mengenai logo itu, Pengarahnya Monica Ong berkata ‘red carpet’ dipilih bagi selari dengan perakuan dan status yang ia biasa dikaitkan.

“Logo dengan perkataan ‘Red Carpet’ digambarkan dalam gerakan bebas yang bergaya yang mencerminkan prestij, hiburan dan kegembiraan,” katanya.

Ong berkata, RedCarpet@i-City tidak seperti muzium lilin biasa memandangkan ia mengetengahkan teknologi lilin revolusioner dengan mempamerkan gerakan interaktif dan audio baharu.

Pengunjung akan dapat melihat secara dekat tokoh terkenal selain dapat berinteraksi atau merakam gambar bersama selebriti kegemaran mereka, katanya.

RedCarpet@i-City yang akan dibuka pada Ogos merupakan satu lagi produk antarabangsa milik Malaysia serta tarikan baharu untuk Tahun Melawat Malaysia 2014 bagi menggamit pengunjung tempatan dan antarabangsa. – Bernama


 

FOLLOW US

PILIHAN PEMBACA

 


 

 
http://news.abnxcess.com/bm/wp-content/themes/abnnews