ATM juara kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan 2013

KUALA LUMPUR – Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan 2013 dengan pungutan 17 pingat emas.

Naib juara kejohanan yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Sukan Negara di sini diraih Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan lima emas, diikuti Sabah di tempat ketiga dengan tiga emas.

Atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin dari Negeri Sembilan yang mencatatkan rekod 49.81 meter pula dinobatkan atlet terbaik kejohanan.

Dalam acara 100m lari berpagar wanita yang berlangsung hari ini, Raja Nursheena Raja Azhar dari ATM muncul juara dengan catatan masa 14.57s, menewaskan atlet Melaka, Ku Munirah Ku Zamzuri (14.81s) manakala pingat gangsa dimenangi Aini Nurazira Mohd Ali (14.84) dari Johor.

Dalam acara 200m wanita, seorang lagi atlet ATM Komalan Shally memperoleh pingat emas dengan catatan masa 25.51s diikuti Elice Grengori dari Sabah dan Nurshila Idris dari ATM masing-masing dengan catatan masa 26.34s dan 26.18s.

Atlet pelapis negara Mohd Ajmal Aiman Mat Hassan pula sekadar berpuas hati dengan pingat perak dalam acara 110m lari berpagar lelaki setelah tewas kepada pelumba 110m berpagar negara, Mohd Rayzamshah Wan Sofian dari Sabah yang mencatat masa 14.04s.

“Ini merupakan kali keempat kami bertemu sejak tahun 2010 lagi namun saya sentiasa berada di belakangnya. Rayzamshah mempunyai pengalaman menyertai pelbagai kejohanan dunia berbanding saya,” kata atlet Terengganu yang mencatatkan masa 14.45s dalam acara itu.

Mohd Ajmal akan menyertai Kejohanan Terbuka Hong Kong pada 29 Jun ini. Rekod terbaiknya dengan catatan masa 14.27s ialah pada temasya Sukan Malaysia Melaka pada 2014. – Bernama


 

FOLLOW US

PILIHAN PEMBACA

 


 

 
http://news.abnxcess.com/bm/wp-content/themes/abnnews