Spekulasi anggota kabinet 2013
Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

Coretan Che Lijoh

SUBANG JAYA – Selesai Pilihan Raya Umum ke-13, tumpuan seterusnya terarah kepada siapakah barisan menteri kabinet yang bakal dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), Najib akan menghadap Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah di Istana Negara esok bagi mendapat perkenan senarai anggota kabinet 2013.

Manakala upacara mengangkat sumpah Menteri dan Timbalan Menteri akan dilaksanakan pada Khamis di Istana Negara.

Macam-macam lah spekulasi dibuat terutama di alam maya mengenai siapakah yang bakal memperkuatkan barisan kabinet Najib untuk meneruskan kelangsungan Transformasi pentadbiran negara sekaligus menjadi bekal kepada Barisan Nasional (BN) untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-14.

Pastinya ramai yang ingin melihat siapakah muka baru dan muka lama yang akan dilantik Najib, ini kerana personaliti yang diangkat kali ini bakal membawa misi berat untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan, khususnya BN.

Najib yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 6 Mei lalu pastinya telah meneliti dengan terperinci calon anggota kabinetnya kerana ia adalah cerminan kepada perubahan dan penambahbaikan yang mahu beliau lakukan untuk penggal Parlimen ke-13 ini.

Muka lama yang kekal pastinya dari kalangan naib presiden UMNO iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Ahmad Zahid dijangka kekal sebagai Menteri Pertahanan bagi memastikan kesinambungan usaha meningkatkan kawalan sempadan terutama di Sabah.

Namun portfolio Hishamuddin dan Shafie mungkin akan menyaksikan perubahan, Hishamuddin yang sebelum ini di Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin berubah angin ke Kementerian Luar manakala Shafie ke Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Nama-nama lain dijangka kekal antaranya Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Seri Anifah Aman, Datuk Seri Noh Omar, Datuk Seri Ahmad Husni Hadadzlah, Datuk Seri G. Palanivel, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Ahmad Maslan (diangkat menjadi menteri penuh).

Selain itu Datuk Seri Idris Jala akan dikekalkan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi meneruskan pelan Transformasi Kerajaan dan Ekonomi negara.

Walaupun MCA telah membuat keputusan untuk tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet namun berdasarkan semangat persepakatan BN, dua Ahli Parlimen dijangka disenaraikan iaitu Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Wee Ka Siong.

Ka Siong akan diangkat menjadi menteri penuh (Menteri Kesihatan) manakala Tiong Lai mengetuai Kementerian Pengangkutan.

Kekosongan lapan jawatan menteri dan lima timbalan menteri memberi ruang kepada Najib untuk membawa masuk muka-muka baru terutama dari kalangan Pemuda dan wakil Sabah dan Sarawak.

Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO disebut-sebut akan memegang jawatan Menteri Penerangan & Komunikasi menggantikan Datuk Seri Rais Yatim yang bersara.

Khairy juga dikatakan sesuai untuk mengetuai Kementerian Pengajian Tinggi yang ditinggalkan Datuk Seri Khaled Nordin.

Selain itu Datuk Abdul Rahman Dahlan juga dikatakan patut mendapat ruang setelah bekerja keras untuk memastikan Sabah kekal sebagai deposit tetap BN.

Malah sumbangannya menerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) pada penggal yang lalu meletakkannya antara wakil Sabah untuk diketengah di peringkat Persekutuan.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yang kini menjadi Pengerusi MARA akan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.

Bagi kabinet 2013, Najib dijangka memperkenal kementerian baru antaranya membabitkan maritim dan perancangan bandar.

Ia bagi memberi perhatian khusus kepada penjagaan sempadan dan kebajikan masyarakat bandar yang sebelum ini kurang mendapat perhatian.

Bagi calon wanita Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar), Datuk Halimah Sadique (Tenggara), Datuk Azizah Mohd Dun (Beufort) dan Datuk Nancy Shukri (Batang Lupar) dijangka mendapat jawatan menteri dan timbalan menteri.

Apa pun, keputusan terletak ditangan Najib selaku Perdana Menteri untuk memilih panglimanya bagi meneruskan perjuangan BN untuk penggal ke-13 ini.

Bagi Ahli Parlimen yang dipilih menggalas jawatan, laksanakan tugas sebaiknya demi pembangunan rakyat dan negara.

P/S: Ramainya telefon che lijoh tanya siapa menteri baru?..che lijoh jawab….ingat che lijoh ni PM ke?


 

FOLLOW US

PILIHAN PEMBACA

 


 

 
http://news.abnxcess.com/bm/wp-content/themes/abnnews