Dakwat kekal: Demonstrasi SPR kepada wakil media 2 Mei

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu demonstrasi kepada wakil media pada Khamis untuk menunjukkan bahawa dakwat kekal tidak mudah hilang dengan penggunaan yang betul.

Demonstrasi itu berikutan penyebaran gambar melalui laman sosial mengenai pendedahan  oleh seorang pengundi awal bahawa  dakwat kekal yang dicalit pada jarinya mudah hilang  dengan membasuh jarinya serta satu laporan polis telah dibuat oleh calon Parti Keadilan Rakyat kerusi parlimen Batu, Tian Chua berkaitan perkara itu.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata dakwat kekal ini jika dicalitkan pada jari pengundi  mengikut cara penggunaan  sebagai mana
yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat berkenaan, ia akan lebih kekal lama.

“Sebahagian daripada mereka ini telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang  dan sebahagian yang lain pula  telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya SPR  juga  telah membuat beberapa ujian menggunakan dakwat kekal  pada Selasa terhadap pegawai-pegawai SPR yang telah mengundi secara pos.

Ujian ini dibuat berdasarkan kepada cara penggunaan  dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat kekal.

Hasilnya, katanya SPR mendapati jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang lebih kekal dakwat itu di jari  mereka dibandingkan dengan jari mereka yang dicalit menggunakan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang.

Bagaimanapun, Kamaruddin berkata walau apa pun kesan dakwat kekal itu, SPR menegaskan bahawa setiap pengundi awal yang telah selesai mengundi  pada 30 April 2013  tidak boleh mengundi sekali lagi pada hari pengundian biasa kerana nama  mereka  tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya  bagi pengundi biasa  yang akan mengundi pada 5 Mei 2013.

Oleh itu, katanya SPR akan  meneruskan penggunaan dakwat kekal pada 5 Mei 2013 ini  selaras dengan kehendak undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Sebelum ini, jelas beliau SPR telah membuat beberapa kali ujian terhadap dakwat kekal itu sebelum ia dibekalkan untuk digunakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 dan terbukti daripada ujian-ujian itu, dakwat itu kekal  bagi tempoh 5 hingga 7 hari.

 

 

 

 

 


 

FOLLOW US

PILIHAN PEMBACA

 


 

 
http://news.abnxcess.com/bm/wp-content/themes/abnnews